Jumaat, 22 Mei 2009

Sesakan taukeh SAKAN


Dulu ketika saya masih menjadi PK HEM SMK Yan, pihak sekolah telah mengadakan satu perkhemahan di Tasik Raban dekat Kuala Kangsar. Seronok camping wehhhh.. SMKI pun rasanya perlu banyak sikit buat camping untuk para guru dan murid-murid menghirup udara nyaman ditepi tasik atau laut atau setidak-tidaknya berpengalaman menjejakkan kaki kedalam hutan rimba yang tebal. Yang seronoknya Tasik Raban ni banyak ikan air tawar yang sedap-sedap. Ada ikan tilapia merah ( paling murah ), ada ikan kalui, ikan tengas dan macam-macam ikan lagi. Harganya pun boleh tahan, taklah begitu mahal. Tapi sedap sekali sebab dibakar ketika ikan masih fresh. Bak kata orang "masih berlendair". Teringat saja buat saya terliur. Emmmm sedapnya ikan fresh dibakar, dicicah air asam.

Kita tinggalkan sekejap kisah ikan bakar sebab yang tu bukan topik utama yang saya nak tulis malam ini. Tapi saya nak tulis sikit tentang sakannya semangat taukeh SAKAN. Dalam bahasa orang Kedah, sakan maknanya hebat. Hang hari ini makan sakan. Maknanya kamu hari ni makan hebat, mungkin dari segi harganya, banyaknya atau kesedapannya. Itulah makna sakan. Apa kena mengena pula dengan SAKAN. SAKAN ialah Kedai Borong SAKAN yang dipunyai oleh Tuan Haji Omar. Pergilah kemana-mana kedai borong SAKAN, sah tertulis " Milik Haji Omar". Bekas Pengetua SMK Yan iaitu Encik Nordin Mansor merupakan kawan sekelas Haji Omar. Jadi kami pun jemputlah Hj Omar untuk menceritakan kejayaannya dalam membangunkan perniagaan Kedai Borong SAKAN. Ceritanya memang hebat, kekadang menyayat hati dan kekadang menyebabkan kita rasa begitu bersemangat sekali.

Haji Omar ni dulunya adalah seorang graduan dari universiti. Dia kerja dengan PERKESO sebagai pegawai sehinggalah dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Perkeso Telok Intan. Dari awal lagi beliau memang minat berniaga. Beliau berasal dari Kampung Sakan yang berdekatan dengan Alor Star. Ketika masih belajar, beliau telah berminat berniaga kecil-kecilan. Dia pernah buat baju dari guni gandum untuk dijualkan kepada petani yang bajunya sering rosak akibat daripada peluh dan hujan. Sama cerita macam Levis yang buat seluar dari kain jean untuk para pelombong bijih timah. Dari baju guni gandum beliau berniaga macam-macam lagi termasuklah banyak barangan dari Siam. Pendekata beliau sering berulang alik dari Kuala Kangsar kekampungnya untuk berniaga. Sibuk memang sibuk, teruk memang teruk. Kalau tak dipecahkan ruyung mana dapat sagunya?.

Ketika menjadi Pengurus PERKESO Teluk Intan, rutinnya padat sekali. Beliau tinggal di Kuala Kangsar tapi kena kerja di Teluk Intan, jauh sangat tu. Hari-hari dia berulang alik naik bas. Kekadang bas dah habis maka dia pernah tidur distesen bas. Setelah bebarapa kali kena tidur di stesen bas, dia ambil keputusan untuk letak jawatan. Bila saja surat letak jawatan sampai kepada pengetahuan Pengarah Perkeso, maka bergegaslah Pengarah datang berjumpa dengannya untuk mengetahui kenapa dia nak letak jawatan. Jawapannya membuatkan Pengarah pening kepala. Ada ke dia nak letak jawatan kerana nak beli lori kecil untuk meniaga pasar malam. Samalah macam Pengetua letak jawatan kerana nak berniaga ikan tepi jalan. Tentu orang gelak sakan. Tetapi Haji Omar telah bernekad. Nak maju, majulah. Nak bangkrap pun bangkraplah. Letak jawatan adalah satu keputusan yang muktamad.

Lepas letak jawatan makin sibuk jadinya. Tapi itulah pilihannya. Maju sikit dia buka Kedai Borong Sakan pertama di Kuala Kangsar. Ramailah orang mencebik muka, memperli dan mempersenda. Berapa harilah Haji Omar nak bertahan. Haji Omar bodoh, ada kerja baguih pi letak jawatan. Nak berniaga juai pakaian. Ramai orang yang gelak sakan kepada taukeh Kedai Borong Sakan yang berasal dari Kampung Sakan. Tapi Alhamdulillah, berkat usahanya dia berjaya. Dia berniaga seperti Cina berniaga, berjimat seperti orang Sikh dan berhemah seperti orang Melayu. Akhirnya beliau berjaya menambahkan bilangan kedainya dari satu kepada 26 sekarang yang bertaburan diserata Malaysia sehinggalah ke Johor Bharu. Tak taulah pula mungkin setahun dua lagi masuk ke Malaysia Timur. Kami doakan kejayaanmu Haji Omar.
Amin.

Orang beginilah yang sepatutnya kita panggil untuk beri ceramah motivasi. Orang yang betul-betul mengalami dan bukannya yang hanya berteori. Haji Omar tak petah berbicara, tak pandai bagi ceramah sehebat penceramah lain, tapi dia mampu memukau audien dengan pengalaman yang luar biasa. Pengalaman orang biasa yang mempunyai cita-cita luar biasa.

SELAMAT BERJAYA SAKAN TAUKEH SAKAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan