Kelmarin 1/7/2010 berlangsunglah sambutan hari guru peringkat Daerah Kuala Muda Yan di SMK Agama Yan. Saya, PKHEM dan Pengetua pergi dalam sebuah kereta. Seronok juga sesekali semua pentadbir sekolah berada dalam sebuah kereta. Ini penting untuk menunjukkan kesepakatan, kesepaduan yang amat penting untuk kesejahteraan sekolah. Alhamdulillah, sehingga hari ini saya tak nampak adanya bibit-bibit perpecahan dikalangan semua pentadbir. Itulah antara sebab SMK Ibrahim sememangnya nombor satu. Syabas and keep it up...
Ketika masa pencapaian hadiah-hadiah kecemerlangan, banyaklah sekolah yang dapat macam-macam hadiah. Ada asrama lima bintang peringkat negeri, ada hadiah untuk bilik BOSS terbaik, Pusat Sumber terbaik dan macam-macam lagi hadiah. Ada pula hadiah untuk mengarang cerpen yang juga melibatkan ramai guru. Semua hadiah itu SMKI satu pun tak menang. Tiba pula hadiah untuk pencapaian PMR, SPM dan STPM terbaik. Satu pun tak menyentuh nama SMKI. Heran juga. Akhirnya adalah hadiah khas untuk kecemerlangan akademik, barulah ada nama SMKI, SMK Agama Yan, SMJK Sin Min dan SM Sains Sultan Mohd Jiwa. Sekolah terbaik SPM hanyalah mencapai 10 semua A tetapi SMJK Sin Min mendapat 53 semua A dan SMK Ibrahim mendapat 39 semua A. Begitulah untuk PMR. Akhirnya barulah saya faham bahawa kalau peluang disamaratakan, mungkin sekolah lain langsung tak berpeluang untuk merebut hadiah bidang akademik. Oleh itu empat sekolah ini dikecualikan daripada pertandingan. Maka pengetua naiklah sekali sahaja mengambil hadiah. Tentulah sesuatu yang janggal bagi sebuah sekolah premier seperti SMKI memenangi hanya satu hadiah saja dalam anugerah tersebut. Kenapa? Saya ada jawapannya..
SMKI menerima hampir semua pelajar yang mencapai 5A dalam UPSR. Inilah benih-benih yang SMKI terima dan benih-benih ini perlulah dididik agar menjadi pokok-pokok yang berkualiti tinggi, mempunyai produktiviti yang tinggi serta menghasilkan buah yang banyak serta manis dan bersari. Itulah yang kami dapat dan itulah yang kami kena buat. Oleh itu core business warga SMKI ialah untuk menentukan setiap pelajar ini mencapai kecemerlangan akademik tertinggi, pencapaian kokurikulum tertinggi dan mempunyai sahsiah yang hebat. Dalam sijil para pelajar, yang tertulis hanyalah pencapaian akademik, pencapaian kokurikulum dan sahsiah. Tiada dituliskan sama ada sekolah tu menang asrama terbaik, bilik BOSS tercantik atau sekolah paling ceria. Maka apa yang dikehendaki dalam sijil itulah core business warga SMKI dan itulah yang kena dipenuhi dahulu.
Ibu bapa yang merupakan klien kami tidak kisah kalau sekolah tak menang asrama terbaik, bilik BOSS terbaik, sistem fail terbaik atau apa-apa lagi yang terbaik. Yang mereka pentingkan anak-anak mereka mencapai akademik terbaik, kokurikulum terbaik serta sahsiah yang terpuji. Begitulah harapan semua ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan itulah juga harapan saya bila saya menghantar anak saya ke sekolah. Menyedari hakikat inilah maka kami warga SMKI begitu menitikberatkan program akademik dan "melupakan " sementara program-program sampingan yang lain. Cukuplah sekadar sekolah nampak seperti sekolah, tak nampak seperti perhentian bas , panggung wayang dan sekolah juga taklah nampak seperti sebuah hotel lima bintang. Kami utamakan core-business kerana itulah harapan klien kami. Warga SMKI bernasib baik kerana mempunyai pengetua yang berpendirian sedemikian kerana dalam hidup ada perkara yang perlu diutamakan, ada yang perlu disegerakan dan ada yang kurang perlu. Akademik adalah perkara yang perlu diutamakan dan disegerakan. Kita tak mempunyai banyak masa untuk mendidik pelajar kearah kecemerlangan. Masa mencemburui kita.
Teringat kata seorang pengetua disebuah sekolah luar bandar. Terngiang-ngiang kata-katanya dibenak kepala saya..
"Saya tak mau masuk pertandingan asrama lima bintang ni kerana kita habiskan puluhan ribu, masa yang begitu banyak dan tenaga yang bukan sedikit. Hasilnya kita dapat satu piala yang tak seberapa, nama yang terkenal sementara tetapi para pelajar terabai. Rugi..." Kata pengetua tersebut.
Beliau memang membuktikan kata-katanya kerana dari sebuah sekolah luar bandar yang tercorot , beliau telah berjaya memurtabatkan sekolah tersebut menjadi sekolah ternama dan setiap tahun memenangi anugerah pencapaian PMR tebaik bagi kategori sekolah menengah luar bandar. Ibu bapa berlumba-lumba untuk memasukkan anak ke sekolah tersebut walaupun agak jauh dari rumah mereka. Itulah khebatannya sehinggalah beliau bertukar. Beliau kemudiannya digantikan dengan seorang pengetua yang amat meminati pokok bunga. Puluhan ribu dihabiskan utuk membeli pelbagai jenis pokok bunga serta pasu-pasu yang beraneka rupa. Sekolah dah jadi macam kebun bunga. Nak berjalan pun payah, takut terlanggar pokok bunga. Setiap kaki lima dipenuhi dengan barisan pokok bunga yang banyak. Kalau ada hadiah tentang sekolah dalam kebun bunga, sekolah ini pastinya nombor satu.
Disebabkan kesibukan mengendalikan pokok-pokok bunga, maka hal-hal akademik kurang diambil perhatian. Kelulusan merosot sehinggakan pengetua dipanggil untuk mengadap pihak atasan sebab keputusan amat membimbangkan. Oleh itu, tekankan core-business bukan side-business. Utamakan apa yang perlu diutamakan dan pinggirkan apa yang tak perlu diutamakan. Kecemerlangan akademik akan dikenang sepanjang hayat manakala kemenangan dalam keceriaan hanya berdentum setahun sahaja.
Teringat katya-kata Tn Hj Abas Awang, bekas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan. Dia berkata
"Kalau kita nak sekolah jadi taman bunga, kita akan lantik tukang kebun sebagai pengetua, kalau kita nakkan sekolah yang langsirnya cantik, kita lantik tukang jahit sebagai pengetua. Disebabkan kita nakkan sekolah terbaik dalam akademik, maka kita lantik ahli akademik menjadi pengetua." Pedas kata-katanya tetapi memang tepat dan mantap. Beliau menambah...
" Pengetua mempunyai the golden hands. Apa yang pengetua sentuh akan bergemilangan seperti emas. Kalau pengetua sentuh sukan, maka sukan akan berkembang. Kalau pengetua sentuh komputer, sekolah akan hebat dengan ITnya. Oleh itu semua pengetua sentuhlah akademik dahulu sebelum menyentuh yang lain".
Oleh itu kasihanilah semua ibu bapa yang mengharapkan kecemerlangan akademik. Itulah yang boleh mengubah nasib mereka. Nasib mereka boleh diubah dengan ilmu yang ada pada anak-anak. Begitulah juga kebanyakan kita yang lahir miskin, merempat tetapi berjaya naik ke kategori sederhana dengan adanya sedikit sebanyak ilmu yang dipelajari disekolah. Ilmu adalah agen perubahan sosio ekonomi generasi. InsyaAllah.
CORE BUSINESS, THE ULTIMATE .